PERANAN
IBUBAPA DALAM PENDIDIKAN ANAK-ANAK DARI PERPSPEKTIF QUR’AN DAN HADITH
Professor
Madya Dr. Ammar Fadzil – Universiti
Islam Antarabangsa Malaysia
Islam menerusi al-Qur’an
dan Sunnah merupakan agama yang bersifat universal dan komprehensif. Ia
bukan sahaja meliputi aqidah, shariah dan akhlak tetapi juga meliputi
pendidikan keluarga dan anak-anak. Ibubapa mempunyai kedudukan yang
tinggi pada pandangan masyarakat dan agama. Fungsi ibubapa dalam
membentuk anak-anak sukar dicari ganti. Melalui mereka anak-anak mengenal
kasih sayang, nilai-nilai kehidupan dan erti kasih sayang. Islam sendiri
menuntut supaya ibubapa diberikan kedudukan yang tinggi dalam institusi
keluarga dan masyarakat. Arahan berterimakasih diletakkan pada tempat
yang pertama selepas ibadah kepada Tuhan kerana perngorbanan insaniah yang
tidak berbelah bagi begitu juga keutamaan memberikan bantuan didahulukan
ibubapa di atas yang lain. Ibubapa merupakan salah satu elemen tanpanya
tidak wujud apa yang dipanggil masyarakat atau komuniti manusia. Ia
berterusan membekalkan generasi baru kepada masyarakat. Mereka memainkan
peranan yang amat penting dalam pembentukan masyarakat dan tamadun manusia masa
hadapan. Baik dan buruk tamadun yang dilahirkan adalah ditentukan oleh
ibubapa selain dari faktor-faktor utama seperti suasana dan sistem
pemerintahan. Perubahan dan permasalahan yang sentiasa berlaku dewasa ini
menghasilkan cabaran yang getir kepada ibubapa dalam memastikan peranan mereka
sebagai pembentuk tamadun manusia dapat ditunaikan dengan sempurna.
Kertas ini tidak dapat mengupas dan menjawab segala persoalan yang terbuku
namun diharapkan dapat memberikan input yang berguna kepada konvensyen yang
diadakan pada hari ini.
Mengikut Islam peranan
ibubapa amat besar. Merekalah yang bertanggungjawab ke atas masa hadapan
anak-anak. Peranan mereka sebagai pembina utama dan pertama anak-anak sukar
dicari penggalang ganti. Mereka bertanggungjawab memperkenalkan kepada
anak-anak nilai kasih sayang, erti kehidupan dan keperluan kepada pengorbanan
dalam menunaikan tanggungjawab. Dalam sebuah hadis disebut “Setiap anak
dilahirkan di atas fitrah, maka kedua ibubapanya yang menjadikannya Yahudi, atau
Nasrani atau Majusi” Fitrah di sni bermaksud Islam oleh itu setiap
anak-anak dilahirkan sebagai seorang Muslim maka ibubapanya yang
bertanggungjawab memberikan ajaran agama yang sempurna supaya anak tersebut
kekal di atas fitrah Islamnya dan memastikan anak tersebut tidak dipengaruhi
oleh suasana persekitaran yang akan merosak dan menjejaskan fitrah kejadiannya.
Dalam sebuah hadis
riwayat Bukhari “Orang lelaki adalah penjaga ke atas ahli keluarganya dan dia
bertanggungjawab terhadap mereka dan perempuan penjaga ke atas rumahtangga dan
anak-anaknya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka.”
“Sesungguhnya bagi jasad
kamu ke atas kamu ada hak dan sesungguhnya bagi anak kamu ke atas kamu ada hak”
(Riwayat Muslim)
Ibubapa bukan sahaja
berfungsi sebagai ejen penambah zuriat manusia dan memperbanyakkan umat Islam
dalam konteks agama Islam, mereka bukan sahaja menginginkan zuriat yang
mewarisi perjalanan hidup mereka dan melahirkan anak soleh malah lebih daripada
itu mereka berfungsi sebagai centerpusat yang melahirkan generasi
atau jil yang meneruskan kecemerlangan umat Islam sebagai ummattan
wasatan ummat terbaik ummat contoh kepada seluruh manusia surah
al-Baqarah ayat 143 “dan demikianlah Kami jadikan kamu ummat pertengahan…”
Tujuan pertama dan kedua
lebih bersifat kepentingan individu tetapi tujuan ketiga bersifat universal dan
lebih berkemasyarakatan.
Kesemua ibubapa secara
naturalnya menginginkan anak-anak yang soleh “..Jika sekiranya engkau memberi
kami anak yang soleh tentulah kami akan selalu bersyukur” (al-A`raf ayat 189)
dan di dalam hadis riwayat Muslim “apabila mati anak Adam terputus darinya
melainkan tiga perkara anak soleh, ilmu bermanfaat dan sadaqah jariah”
Di dalam surah al-Furqan
ayat 74 “Ya Tuhan kami anugerahkan keapda kami pasangan kami dan keturunan kami
sebagai penyenang hati kami dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang yang
bertakwa” manakala surah Maryam ayat 6 “yang akan mewarisi aku…” Al-Qur’an
seterusnya dengan tegas mengingatkan ibubapa akan tugas mereka yang amat
penting seperti yang disebut dalam surah al-Tahrim ayat 6 “Wahai orang-orang
yang beriman perliharalah diri-diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka” dan
di dalam surah al-Anfal ayat 28 ibubapa juga diingatkan supaya berwaspada
dengan keluarga dengan firmannya “Sesungguhnya harta-harta kamu dan anak-anak
kamu adalah ujian” ujian yang menguji ibubapa adakah mereka menunaikan
tanggungjawab dan memberikan kepada anak-anak hak mereka yang sepatutnya.
Oleh itu ibubapa
mestilah menyedari dan memahami kepentingan tiga perkara ini; penyambung
zuriat, anak soleh dan generasi ummatan wasatan dan menganggapnya sebagai
satu tugas dan amanah yang dipikulkan ke atas mereka oleh agama mereka. Mereka
mesti menganggap ianya sebagai satu amanah besar yang mesti dipikul dan
ditunaikan serta tidak boleh dipertanggunggjawabkan kepada pihak lain. Jikalau
kita hendak menjangkau kepada peranan yang lebih luas iaitulah memastikan
bahawa anak-anak tersebut mampu menyambung kesinambungan tamadun ummat
manusia. Tetapi apakah syarat-syarat kesinambungan tersebut?
Malik Bennabi seorang
pemikir Islam terkenal berbangsa Algeria menyatakan dalam bukunya Mushkilat
al-Hadarah Shurut al-Nahdah (Permasalahan Tamadun Asas-asas
Kebangkitan)[1] bahawa
tamadun mempunyai tiga unsur utama: manusia, tanah[2] yang
diduduki dan masa yang dimiliki oleh manusia.[3] Manusia
menurutnya berhadapan dengan berbagai masalah yang berbeza antara satu dengan
lain. Ia berkait rapat dengan individu dan organisasi masyarakat.
Individu mempunyai tiga peranan utama yang bakal mencipta tamadun dan sejarah
masa hadapan: halatuju, budaya dan harta.[4] Halatuju
mestilah jelas dan menampakkan kesatuan fikiran dan tujuan, budaya mestilah
mampu menggabungkan elemen masa lampau dan masa hadapan meninggalkan yang
negatif dan mengambil yang positif yang semestinya berpaksi dan bersumberkan
wahyu. Budaya dalam erti yang luas ialah himpunan sifat-sifat
akhlak dan nilai kemasyarakatan yang diterima oleh individu seawal kelahirannya
di alam nyata.[5] Teori
Malik Bennabi ini memperlihatkan kepada kita betapa besarnya tanggungjawab yang
perlu dipikul oleh setiap individu masyarakat dan tidak terkecuali mereka yang
dipanggil ibu bapa.
Kepentingan menitik
beratkan pembangunan anak-anak merupakan amalan yang dipelopori oleh ulama-ulama
Islam sejak zaman silam berasaskan ajaran Islam bersumberkan Qur’an dan Sunnah.
`Uqbah bin Abi Sufyan ketika menghantar anaknya kepada seorang guru berpesan
beliau kepada guru tersebut dengan kata-katanya : “Hendaklah perkara pertama
ketika engkau memperbaiki anakku ialah memperbaiki dirimu, sebab matanya akan
menurut matamu, yang baik pada mereka ialah apa yang engkau pandang baik, yang
buruk di sisi mereka ialah apa yang engkau pandang buruk, ajarkan mereka jalan
kehidupan orang bijak pandai, tunjukkan akhlaq orang-orang mulia, engkau boleh
mengancam dia dengan diriku, pereloklah perilakunya tanpaku, jadilah seperti
seorang doktor yang tidak memberikan ubat sebelum mengetahui penyakitnya,
janganh engkau sampai cuai kerana kekurangan yang ada padaku sebab aku telah
menyerahkan dia atas kesempurnaan yang ada padamu.” Pada zaman khalifah
Abbasiah al-Mansur, beliau telah menghantar seorang utusan ke penjara
bertanyakan banduan-banduan penjara apakah yang kamu rasa berat dari apa yang
kamu rasakan sekarang. Jawapan yang diterima ialah : tiada apa pun yang kami
rasakan amat pedih selain daripada kami terhalang untuk mendidik anak-anak
kami.”
Cabaran
Masa Kini
Ibu bapa pada hari ini
berhadapan dengan berbagai cabaran di dalam mendidik anak-anak. Mereka
dituntut untuk memastikan anak-anak dibesar dan diberikan pendidikan yang
merangkumi pembentukan akal, jasmani, ruhani, akhlak dan sosial. Suasana
persekitaran memberikan tekanan kepada ibubapa dalam menangani cabaran
tersebut. Keperluan menambahkan pendapatan memerlukan kedua ibubapa
bekerja telah mengurangkan masa bersama dengan anak-anak. Justeru itu mereka
terpaksa mencari alternatif lain seperti mengambil pembantu rumah, menghantar
anak-anak ke pusat asuhan atau ke sesi persekolahan tambahan untuk memastikan
kepentingan pendidikan anak-anak terjaga. Kewujudan masalah sosial juga
turut merunsingkan ibubapa. Gejala dadah, melepak, merempit dan terlibat dalam
aktiviti-aktiviti maksiat merupakan fenomena yang mencemaskan ibubapa. Tambahan
pula media menyiarkan sitcom yang boleh menyumbangkan kepada penglibatan
anak-anak dalam aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral. Sebagai contoh mengikut
kajian yang dilakukan oleh Hashim Bedu dan rakan-rakannya Keruntuhan
akhlak dan gejala sosial dalam keluarga;isu dan cabaran jenayah
syariah bagi negeri Johor meningkat dari setahun ke setahun. Mereka
mengklasifikasikan punca-punca jenayah seperti berikut : perasaan ingin tahu
dan mencuba, pengaruh rakan sebaya, pengaruh media massa dan sikap keluarga,
ibubapa mengamalkan sikap terlalu mengongkong dan mengabaikan pendidikan rohani
dan agama. Nooh Gadot dalam kertas kerjanya Masyarakat,
Pendidikan dan Pembentukan Keluarga Islam Berkualiti menyatakan bahawa
keluarga Islam menghadapai masalah pergaulan dan cara hidup seperti kelemahan
komunikasi dalam keluarga, salah laku perhubungan, generasi muda tidak
menghormati yang tua dan ibubapa kurang memberikan kasih sayang kepada
anak-anak. Seterusnya beliau menegaskan keluarga Islam berhadapan dengan
dua cabaran dalaman dan luaran. Dalaman seperti kehidupan yang tidak berasaskan
iman, takwa dan ihsan, ilmu pengetahuan tidak mencukupi, tidak ada role model
dalam keluarga, hubungan kekeluargaan yang renggang, tidak ada suasana
keislaman dalam keluarga, pembahagian masa tidak sekata di kalangan ahli
keluarga, faktor kemiskinan manakala cabaran luar ialah penglibatan ibu bapa
dalam aktiviti luar sehingga menjejaskan tanggungjawab di rumah, pergaulan
dengan kumpulan yang rendah akhlak, pengaruh media massa dan tidak bijak
memilih kerjaya yang bersesuaian dengan ibu bapa.
Sheikh Abdullah Nasih
`Ulwan dalam bukunya Tarbiyatul Awlad fil Islam[6] menyenaraikan
punca keruntuhan moral anak-anak antaranya kepada kemiskinan, pergaduhan sesama
ibu dan bapa, perceraian yang mengundang kesusahan kepada ibu yang menjaga
anak-anak, masa lapang yang tidak terisi, pengaruh rakan-rakan, diplomasi buruk
ibu bapa kepada anak-anak dan ibu bapa yang tidak mendidik anak-anak.
Kemiskinan akan mendorong kanak-kanak keluar dari rumah mencari wang
untuk keperluan dirinya yang akan mendedahkan mereka kepada sarang-sarang
penjenayah natijahnya akan melahirkan masyarakat yang anggota masyarakatnya
penjenayah-penjenayah muda. Ibu bapa yang sentiasa bergaduh terutamanya di
hadapan anak-anak akan menyebabkan anak-anak resah dan tidak gembira.
Perceraian ibu bapa kebiasaannya menyebabkan anak-anak kehilangan bapa
dan memaksa ibu-ibu keluar mencari nafkah. Maka anak-anak yang sudah kehilangan
bapa akn terasa kekurangan masa bersama ibu mereka lantas mereka akan mencari
alternatif untuk mengisi kekosongan yang ada dalam jiwa mereka. Begitu
juga jika anak-anak mempunyai masa lenggang yang banyak dan ibu bapa tidak
memenuhi masa anak-anak mereka dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah akan
mempengaruhi kanak-kanak mengisi masa mereka mengikut cara mereka
sendiri. Islam memberi peringatan yang keras tentang kesan negatif yang
bakal menimpa mereka yang tersilap memilih kawan seperti dalam ayat 28-30 surah
al-Furqan “Dan (ingatlah) hari (ketika itu) orang yang zalim menggigit dua
tangannya, seraya berkata: “Aduhai kiranya (dulu) aku mengambil jalan
bersama-sama Rasul”. Kecelakaan besarlah bagiku; kiranya aku (dulu) tidak
menjadikan sifulan itu teman akrab(ku). Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku
dari Al Qur’an ketika Al Qur’an itu telah datang kepadaku. Dan adalah syaitan
itu tidak mau menolong manusia.” Sabda Nabi: “Seseorang itu bergantung
kepada agama saudaranya maka hendaklah dia melihat ssiapa yanag menjadi
saudaranya”. Sikap ibu bapa dan cara diplomasi mereka yang tidak
berhikmah menyebabkan anak-anak menjadi tertekan dan beremosi kerana anak-anak
juga manusia yang diberikan akal yang mampu berfikir dan boleh menilai lantas
mereka akan mempersoalkan sikap ibu bapa mereka yanag tidak rasional.
Kanak-kanak berkemungkinan mengambil jalan pintas melawan ibu bapa, lari dari
rumah dan menyimpan dendam kepada ibu bapa mereka. Pernah satu ketika Umar ibn
al-Khattab mengatakan kepada seorang ayah yang tidak menunaikan
tanggungjawabnya “Kamu datang berjumpa aku mengadu anakmu yang derhaka
sedangkan kamu terlebih dahulu derhaka kepadanya, kamu berlaku buruk kepadanya
sebelum dia berlaku buruk kepadamu”. Ibu bapa yang tidak mendidik
anak-anak menjadikan anak-anak mereka seolah-olah tidak beribu bapa ibarat
anak-anak yatim. Benarlah kata penyair Arab “bukanlah yatim itu mereka
yang ayahnya tidak menanggungnya dan meninggalkannya sesungguhnya yatim itu
ialah ibunya yang sibuk dan ayahnya yang sibuk”. Ibu bapa perlu menjadi
seperti seorang peladang yang sentiasa mengambil berat terhadap benih pokok
yang disemainya Dia perlu menjaganya, membaja, menyiram air, membersihkan
duri-durinya dan memotong ranting-ranting yang patah. Dia perlu memastikan
benih tersebut dapat menghasilkan buah masak dan ranum. Jangan jadikan
anak-anak seperti benih terbiar diterbangkan angin ibarat debu beterbangan di
udara.
Dr Muhammad Sayyid Yusuf
dalam bukunya Manhaj al-Qur’an fi Islah al-Mujtama` menyenaraikan
sebab kepincangan masyarakat kepada 3 punca utama: berpaling dari ajaran agama,
tertipu dengan godaan syaitan dan perancangan jahat musuh yang ingin melihat
kehancuran umat Islam. Musuh Islam terutamanya Yahudi mengganggap antara
kekuatan umat Islam terletak kepada keutuhan institusi keluarga oleh itu mereka
menjadikan matlamat mereka antaranya meruntuhkan kehidupan berkeluarga dan
merosakkan sistem pendidikannyya. Oleh itu sebahagian besar program-program
media massa yang dipaparkan memperlihatkan unsur-unsur dan budaya-budaya
negatif yang boleh mempengaruhi nilai akhlak anak-anak dan remaja.
Sebaliknya budaya mulia
yang ingin dilihat dalam kehidupan anak-anak dan remaja sebagai jil dan
generasi masa hadapan future generation ialah seperti yang
ditegaskan oleh Malik Bennabi ialah budaya yang bersumberkan wahyu kerana ianya
merupakan suatu yang quddus dan datangnya dari Tuhan. Mengikut perspektif
Islam, budaya terdiri dari tiga unsur aqidah, ibadah dan akhlak oleh itu
semesti ketiga-tiga perkara ini diberikan penekanan dalam pembentukan
personaliti anak-anak.
Tuntutan materialisma
masakini mempengaruhi ibubapa memberikan tekanan kepada anak-anak untuk
mencatat kejayaan cemerlang dalam bidang akademik lantas mengabaikan aspek
spriritual atau keagamaaan maka lahirlah anak-anak yang cemerlang akademik
tetapi kosong jiwanya, remaja cemerlang tetapi runtuh akhlak. Sepatutnya
kecemerlangan akademik mestilah diimbangi dengan kecemerlangan spiritual spiritual
excellence. Islam melalui al-Qur’an dan Hadith menuntut supaya
keseimbangan atau balance dalam semua aspek kehidupan, bukan
sahaja aspek material tetapi kerohanian juga mesti dititikberatkan. Oleh
itu peranan ibu bapa pada masa ini merupakan sebahagian dari jihad yang
dituntut dalam Islam. Hadith Nabi ada menyebut bermaksud barangsiapa
bersabar dalam membesarkan anak-anak perempuan maka baginya balasan syurga.
Penyelesaian
Masalah dan Aspek Pendidikan Anak-anak
Apa yang dimaksudkan
dengan penyelesaian di sini ialah apakah peranan yang perlu dimainkan oleh
ibubapa dalam mengatasi masalah dan menangani cabaran yang dihadapi. Anak-anak
perlu diberikan kefahaman tentang peranan dan tujuan utama mereka berada di
alam maya ini. Kewujudan mereka bukannya untuk mengecapi keseronokan yang
bersifat sementara tetapi memahami dan menghayati kedatangan mereka seperti
yang disebut oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam risalahnya Qimah al-Insan
wa Ghayah Wujudihi fi al-Islam adalah untuk beribadat, membangunkan
bumi Tuhan dengan sebaiknya dan menjadi khalifah Tuhan di bumi ini. Oleh itu
ada tiga perkara utama yang perlu ditekankan dalam pembentukan diri dan jiwa
anak-anak iaitu pemantapan iman dan ibadah, ilmu dan pengukuhan nilai akhlak
mulia. Selain daripada tiga perkara asas ini, ibu bapa perlu mengambil
kira aspek-aspek lain yang tidak kurang pentingnya. Secara umumnya
aspek-aspek pendidikan anak-anak terbahagi kepada aspek iman, akhlak, jasmani,
minda, rohani, sosial, emosi dan seksologi.
Ciri-ciri
Pendidikan Dalam Islam
Sebelum kita berbicara
mengenai aspek-aspek pendidikan anak-anak yang perlu dititikberatkan oleh ibu
bapa terlebih kita merenung apakah yang dimaksudkan dengan pendidikan dan
apakah ciri-ciri pendidikan Islam.
Definisi
dan Aspek Pendidikan
Pendidikan dari segi bahasa
ialah membina, memperbaiki dan menyempurnakan. Dari segi teknikal ia
bermaksud membina fungsi badan, akal, akhlak sehingga sempurna melalui latihan
dan pembudayaan. Di dalam Islam pendidikan bermaksud mempersiapkan
individu Muslim yang beriltizam dengan agama dan berakhlak dengan akhlak Islam
dari segi hati, ruh, jasad, akal, akhlak dan sikap.[7]
Untuk memahami konsep
pendidikan dalam Islam terutamanya al-Qur’an dan Hadis memerlukan kita meneliti
keseluruhan isi kandungannya. Al-Qur’an dalam surah al-Mu’minun umpamanya
memasukkan elemen tawhid. Ibadat, akhlak, menjaga kehormatan diri dan
tanggungjawab kepada masyarakat melalui sistem zakat dan penjagaan
amanah. Surah al-Furqan menyebut takwa, takut kepada azab neraka,
bersedekah, memelihara kehormatan diri dan memberikan kesaksian yang adil
sebagai ciri-ciri peribadi unggul.
Pendidikan Islam akan
dapat difahami dengan lebih jelas apabila kita memahami ciri-cirinya.
Cirinya yang pertama ialah Rabbaniyyah yang bermaksud ianya dari Allah. Ini
merangkumi dua perkara iaitu sumber dan tujuan. Dari segi sumbernya ia
menyedarkan kita bahawa sumber pendidikan Islam tertinggi ialah al-Qur’an dan
Hadith dan bukannya bersumberkan akal dan nafsu manusia. Manusia tidak
mencipta asas-asas pendidikan Islam tetapi tugasnya ialah menerima, memahami
dan menyesuaikan perlaksanaannya di dalam sistem kehidupan dan
pendidikan. Dari segi hala tuju pendidikan ia bermaksud mengukuhkan
ikatan hubungan dengan Tuhan dan mencari redhanya. Ayat 6 surah
al-Inshiqaq bermaksud “Wahai manusia! Sesungguhnya kamu telah bekerja keras
untuk menemui Tuhanmu maka kamu akan menemuinya”.
Ciri kedua ialah
pendidikan Islam itu bersifat sempurna dan komprehensif. Tidak ada kekurangan
dalam sistem pendidikan Islam kerana ianya bersumberkan dua sumber utama iaitu
Qur’an dan Hadith. Ia meliputi semua aspek pendidikan yang berasaskan kepada
tiga prinsip utama iaitu tawhid yang sebenar, meliputi semua aspek pendidikan
dan ibadah kepada Allah.
Ciri ketiga ialah
keseimbangan yang bemaksud keseimbangan antara akhlak individu dan masyarakat
dan negara manakala ciri keempat ialah komitmen iaitu pendidikan Islam bukan
terletak pada teorinya sahaja tetapi ianya sesuatu yang mesti dilaksanakan
kerana perlaksanaan merupakan manifestasi iman seseorang individu dan
masyarakat. Ciri terakhir ialah ia bersifat realistik sesuatu yang dapat
dilaksanakan. Pendidikan Islam ialah sesuatu yang mampu dilaksanakan dan
bukannya sekadar teori yang indah dilafazkan tetapi sukar dipraktiskan.
Secara umumnya
sebahagian pakar bersetuju bahawa pendidikan anak-anak mestilah bermula dari
zaman awal kelahiran mereka. Dalam erti kata lain, segala apa yang dilihat dan
didengari oleh seorang kanak-kanak dari persekitarannya adalah merupakan satu
pendidikan baginya kerana yang nyata bagi kanak-kanak di peringkat awal umur,
mereka tidak dapat membezakan yang baik dan yang buruk. Barat dan Islam
mempunyai perspektif yang sama dalam hal ini, kanak-kanak perlu dibentuk dan
dididik sejak dari awal. Apa yang membezakan ialah Islam menekankan pembentukan
sahsiah seseorang kanak-kanak bukan hanya kelakuan fizikalnya tetapi pemantapan
akhlaq perlu diterapkan seiring dengan penerapan keimanan di dalam ruh dan
jiwanya.[8] Hakikat
yang perlu kita tahu dari fakta yang dikemukakan oleh pakar perkembangan dan
psikologi kanak-kanak, diperingkat umur 6 tahun pertama inilah peringkat
paling utama dan paling laju perkembangan mereka berbanding dengan
peringkat-peringat atau tahap umur yang lebih dewasa dalam kehidupan
seorang insan. Pakar perkembangan dan psikologi kanak-kanak berpendapat bahawa
lebih separuh dari perkembangan intelektual kanak-kanak berlaku dari usia 0
hingga empat tahun manakala satu pertiga yang lain sempurna
perkembangannya ketika kanak-kanak berusia 8 tahun. Mengikut pandangan
pakar psikologi Barat Freud, pengalaman kanak-kanak pada zaman kecilnya akan
mempengaruhinya di masa hadapan. Pada pandangan sebahagian sarjana Islam teori
pendidikan anak-anak bermula semasa perkahwinan ibu dan bapa kepada anak-anak
tersebut. Oleh itu sebahagian pemikir Islam membahagikan pembentukan
peribadi anak-anak kepada sekurang-kurangnya tiga peringkat. Sebelum kelahiran,
selepas kelahiran sehingga umur 10 atau 11 dan dari 11 sehinggalah ke alam
remaja dan mampu berdikari.
Mengikut Dr al-Mabruk
Uthman Ahmad dalam bukunya Tarbiyatul Awlad wal Aba’ fil Islam peringkat
sebelum lahir merangkumi pemilihan pasangan suami isteri, persediaan mereka
untuk bergelar ibubapa yang bukan sahaja bersifat biologi iaitu melahirkan anak
tetapi turut bersifat kepertanggungjawaban iaitu menunaikan tanggungjawab
sebagai ibu dan bapa. Suasana yang kondusif sepatutnya disediakan oleh ibubapa
berdasarkan kepada kemampuan supaya unsur-unsur positif dapat dimasukkan dan
unsur-unsur negatif dielakkan. Perkara-perkara yang boleh merosakkan
anak-anak semasa dalam kandungan sebagai contoh merokok dan meminum arak
semestinya dihindari sesuai dengan tanggungjawab mereka yang besar sehingga
dirakamkan pengorbanan ibu dalam al-Qur’an. Dalam surah Luqman ayat 14
“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang
ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah,
dan menyusunya dalam dua tahun . Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang ibu
bapamu, hanya kepadaKulah kamu kembali.” Pemilihan pasangan suami isteri
yang baik dan menepati kehendak agama akan menjadikan perkahwinan itu satu
medan di mana ibu berperanan sebagai sebuah sekolah yang menjaga dan mendidik
anak-anak manakala bapa bertanggungjawab menyediakan keperluan-keperluan yang
diperlukan. Kerja sama yang dimainkan oleh kedua belah pihak suami dan
isteri akan memudahkan tugas dan amanah mendidik anak-anak menjadi mudah dan
bersistematik. Islam menekankan pemilihan pasangan mestilah berasaskan
agama, akhlak dan keturunan yang baik supaya anak-anak yang dilahirkan itu akan
mewarisi sifat-sifat yang baik dan adat yang mulia. Umar ibn al-Khattab suatu
ketika pernah berkata sebagai menjawab soalan apakah hak seorang anak ke atas
bapanya “hendaklah ia memilih ibu bagi anaknya, mencari nama yang elok dan
mengajarnya al-Qur’an.”
Pendidikan
Iman
Iman merupakan asas
kepada segala ibadah bahkan asas segala kebaikan. Kanak-kanak sebaik saja dapat
memahami mesti diajar asas-asas iman, rukun-rukun agama dan prinsip shariat
Islam. Kanak-kanak mesti diajar kefahaman jelas tentang Islam, diajar mengenal
Tuhan dan Rasul diajar supaya menerima Islam sebagai satu-satunya agama yang
benar dan sistem kehidupan yang dapat menjamin kebahagian dan kesempurnaan
dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Al-Qur’an begitu menitik beratkan
pemantapan dan pengukuhan aqidah serta pembersihannya dari segala unsur negatif
yang bertentangan dengan kesucian aqidah. Aqidah yang benar menjamin
kepada manusia tafsiran yang tepat dan komprehensif tentang konsep kewujudan
alam dan manusia. Penyelewengan aqidah akan membawa kepada penyelewengan
ibadat dan adat serta kerosakan akhlaq individu dan masyarakat. Mengikut Sayyid
Sabiq “bencana pertama yang menimpa masyarakat Islam ialah kelemahan
aqidah. Kelemahan aqidah membawa kepada kelemahan individu, keluarga,
masyarakat, negara dan segenap cabang kehidupan.” Iman yang dituntut kepada
setiap individu dan yang diajar kepada anak-anak mestilah iman yanag sebenar
seperti yang diturunkan oleh Tuhan dan dijelaskan oleh Rasulnya. Anak-anak
mestilah diajar konsep iman dengan jelas dan tanpa kerumitan supaya timbul di
dalam perasaan diri mereka rasa kasih kepada Tuhan dan Rasulnya. Apabila mereka
sudah kenal dan kasih sudah tentulah mudah bagi mereka menerima dan
mempraktiskan segala ajaran dan arahan agama yang datang dari Tuhan dan Rasul. Individu
tanpa agama dan iman ibarat sehelai bulu yang beterbangan di udara, ianya tidak
akan tetap dan tidak mengenal hala tuju dan tidak akan berhenti di satu
destinasi yang tetap. Iman yang mantap dan benar akan menggerakkan
anak-anak dan individu untuk beribadat dan melakukan amalan dan perbuatan yang
baik.
Iman tidak sempurna
tanpa amal dan amal tidak sah tanpa iman. Al-Qur’an sering mengaitkan iman
dengan amal sebagai satu benda yang saling bertaut rapat ibarat pepatah melayu
aur dengan tebing. Amalan dan perbuatan yang baik akan melahirkan nilai dan
kesan yang positif. Al-Qur’an menegaskan sebagai contoh amalan solat dan
zakat akan menghalang seseorang dari melakukan kejahatan dan membersihkan diri
dari sifat-sifat keji.
Islam mengarahkan ibu
bapa mengajar anak-anak mereka sembahyang apabila berusia tujuh tahun.
Kepentingan solat selain daripada ianya sebagai tiang agama, ia berupaya
menanam dalam diri anak-anak pengertian taat, penyempurnaan haq Tuhan,
bersyukur, berserah kepada Tuhan, dan pembersihan jiwa, fisikal dan akhlak.
Kata Imam al-Ghazali : “Anak-anak ialah amanah, hatinya yang bersih
ibarat satu jawhar, jika dibiasakan dengan kebaikan akan bahagia dunia dan
akhirat jika dibiasakan dengan kejahatan rosak dan binasalah dia”
Pendidikan
Akhlak
Yang dimaksudkan dengan
pendidikan akhlak ialah himpunan nilai-nilai akhlak yang perlu diajar kepada
anak-anak sebaik sahaja mereka boleh memahami dan mencapai umur tamyiz (discernment).
Dimaksudkan dengan akhlak pada Imam al-Ghazali ialah tingkah laku yang
dilakukan oleh sesorang secara spontan dan bersahaja. Konsep akhlak dalam
Islam ialah ianya mencerminkan kualiti iman yang ada pada sesorang
individu. Sebagai Muslim ia sedar bahawa segala perbuatannya baik atau
buruk jika tidak mendapat balasan di dunia ini akan pasti mendapat balasan di
hari kemudian. Dalam surah Ahzab ayat 21 “Sesungguhnya telah ada pada
(diri) Rasulullah itu seri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang
mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut
Allah”
Kanak-kanak yang
terdidik di atas asas iman yang benar dan kasih kepada Tuhan dan Rasul akan
mendapati pada dirinya kesediaan untuk melakukan segala perkara yang bersifat
positif dan akan menolak segala perkara yang bersifat negatif. Dia akan
sentiasa merasakan bahawa Tuhan bersama dia, melihat dan menyaksikan segala
perbuatan dia. Kaitan akhlak dengan agama bukan sahaja konsep Islam tetapi
ianya diakui oleh bukan Islam. Ghandi sebagai contoh menyatakan :
“Sesungguhnya agama dan akhlak satu benda yang satu dan tidak dipisahkan…Agama
ibarat ruh bagi akhlak dan akhlak ibarat atmosfer bagi agama” Kant
menyatakan : “Tidak ada akhlak tanpa tiga kepercayaan; Tuhan, ruh dan Hari
Pembalasan”.
Akhlaq berperanan
sebagai salah satu rukun utama pembentukan peribadi unggul dan juga pembinaan
keluarga dan masyarakat yang bertamadun. Tidak mungkin kita dapat melihat suatu
masyarakat contoh dan mithali yang saling bertoleransi, memahami, aman tetapi
kosong nilai-nilai akhlaq mulia yang ada pada masyarakat tersebut dan juga
individu. Dewasa ini masyarakat Islam dan Melayu khususnya berhadapan
dengan berbagai masalah sosial anak-anak. Terbaru pendapat pakar psikiatri
mengatakan remaja berumur lingkungan 15 tahun selalu berhadapan dengan
masalah sehinggakan sudah ada percubaan untuk membunuh diri hanya disebabkan
cinta tidak diterima kekasih.[9] Jika
hendak diperturunkan di sini senarai tingkah laku dan masalah akhlak remaja
amatlah banyak. Bukan sahaja anak-anak menderhaka kepada orang tua mereka
tetapi pernah kedengaran anak-anak yang mendera sehingga peringkat membunuh
orang tua mereka. Perkara ini tidak akan berlaku jika remaja tersebut
diberikan tembok iman, ilmu dan akhlaq yang kukuh. Benarlah ungkapan syair yang
masyhur: Innama al-umam al-akhlaqu ma baqiyat, fain hum dzahabat
akhlaquhum dzahabu (suatu ummat akan kekal bersama akhlaqnya; bila
akhlaqnya hancur, hancurlah mereka bersamanya).
Dalam pembikinan akhlaq
anak-anak, tidak cukup dengan tumpuan kepada akhlaq luaran tetapi dalaman atau
rohani dan spiritual mesti dititikberatkan. Imam al-Ghazali, pemikir Islam
agung silam menekankan: “Sesungguhnya sifat yang lahir pada hati akan
memperlihatkan kesannya pada anggota-anggota zahir sehinggakan anggota-anggota
badan tidak akan bergerak melainkan mengikut kehendak hatinya.” Oleh itu
pembentukan karektor anak-anak tidak boleh ditumpukan hanya kepada kecerdasan
akal sahaja tetapi mesti mesti meliputi aspek emosi dan juga spiritual.
Anak-anak mesti diajar akhlaq individu seperti berpuas hati, sabar, bersyukur
dan diajar akhlaq bermasyarakat seperti benar, penyantun, amanah, toleransi,
merendah diri dan menepati janji. Sabda Nabi : “Keajaiban bagi seorang Muslim
dalam urusannya, sesungguhnya semua urusannya adalah baik belaka. Ini hanyalah
untuk mukmin sahaja. Jika berada di dalam kegembiraan dia bersyukur, jika
ditimpa musibah dia bersabar” (Riwayat Muslim)
Memandangkan pendidikan
dalam Islam menitik berat pemerhatian observation sepatutnya
ibu bapa dalam aspek pendidikan akhlak memandang serius empat isu utama :
bercakap bohong, mencuri, mencela dan menyeleweng dari ajaran agama.
Keempat perkara tersebut
merupakan antara perkara utama yang dilarang oleh Islam dan banyak ayat Qur’an
dan Hadith Nabi yang melarang keras perbuatan tersebut. Sebagai contoh
dalam kes bohong Nabi ada menyebut : “Jauhilah kamu membohong, sesungguhnya
membohong membawa kepada kejahatan dan kejahatan membawa ke neraka, dan adalah
hamba itu berbohong dan sentiasa berbohong sehingga Allah mengecapnya sebagai
pembohong.” (Bukhari dan Muslim). Apa yang dibimbangi terdapat fenomena
di mana ibu bapa sering menunjukkan contoh yang tidak baik terhadap anak-anak
dengan berbohong walaupun tujuan mereka ialah untuk melakukan islah atau
pembaikan. Abu Dawud dan al-Baihaqi meriwayatkan dari Abdullah bin `Amir
bahawa suatu hari ibunya memanggilnya dan Rasulullah berada bersama mereka.
Rasulullah bertanya kepada Abdullah apakah yang kamu hendak berikan
kepadanya? Jawabnya aku ingin memberikannya sebiji tamar. Rasulullah
menjawab “Jikalau engkau tidak memberikannya sesuatu engkau akan dicap sebagai
pembohong.”
Islam meletakkan
beberapa asas dalam pembentukan akhlak antaranya : tidak mengikut budaya
asing yang bercanggah dengan agama, hedonisma, mendengar muzik atau nyanyian
yang melalaikan, menyerupai wanita, bertabarruj dan melihat benda yang haram.
Oleh itu dapat
disimpulkan di sini akhlak anak-anak boleh terjejas jika ibu bapa mengambil
mudah dan tidak memberikan perhatian terutamanya kepada perkara-perkara berikut
seperti yang disebut oleh Abdullah Nasih `Ulwan iaitu tidak memerhati pergaulan
anak-anak, tidak menapis rancangan tv dan filem, membenarkan mereka membaca
majalah-majalah yang tidak sepatutnya dibaca, mengambil mudah urusan pakaian
dan aurat anak-anak, tidak mengawasi pergerakan mereka ke dan pulang dari
sekolah serta perpustakaan kecil mereka. Kata pujangga “Bagaimana kamu
menangisi keadaan anak kamu sedangkan kamu yang membunuhnya, telah pergi dia
tetapi apakah yang kamu lakukan?”
Pendidikan
Jasmani
Kanak-kanak semasa dalam
proses pembesaran sehingga ke peringkat pra sekolah perlu diberikan pendidikan
jasmani bertujuan membina dan memantau perkembangan fizikal. Oleh itu,
antara perkara-perkara yang berkaitan dengan jasmani yang disebut dalam Qur’an
dan hadith seperti kewajipan memberi nafkah, mempraktiskan sistem pemakanan dan
rehat yang baik. Nabi berpesan apabila sesorang hendak tidur hendaklah
dia berwudu’ dan berbaring ke kanan dan membaca doa. Selain daripada
perkara tersebut, anak-anak mestilah dipelihara dari sebarang penyakit dan
perlulah mereka diubati apabila ditimpa penyakit dan mengamalkan konsep yang
disarankan dalam hadis “La darar wa la dirar” tidak ada kemudaratan dan
memudaratkan, membiasakan anak-anak dengan aktiviti-aktiviti yang boleh
menguatkan fizikal dan gemarkan mereka dengan kehidupan yang bersifat berani
dan berjuang seperti dalam hadis “Berikan perhatian kepada perkara yang
bermanfaat, pohon pertolongan dengan Allah dan janganlah kamu menjadi lemah”.
Kepentingan jasmani
diisyaratkan dalam Qur’an dalam surah Yusuf ayat 11-12 “Biarkanlah dia (Yusuf)
pergi bersama kami esok pagi, agar dia (dapat) bersenang-senang dan (dapat)
bermain-main, dan sesungguhnya kami pasti menjaganya.” Keinginan naluri
kanak-kanak untuk bermain dieksploitasi sepenuhnya oleh saudara-saudara Yusuf
untuk memujuk ayah mereka memberikan keizinan untuk Yusuf keluar bersama
abang-abangnya. Dalam sunan Tirmidhi “permainan kanak-kanak memberikan kekuatan
kepada akalnya semasa dewasa.
Sarjana-sarjana Islam
seperti Ibn Sina menyarankan supaya kanak-kanak kecil semestinya dibiarkan
belajar berjalan dengan sendiri tanpa dipaksa kerana paksaan akan menjejaskan
kekuatan tulang kaki. Apabila seorang anak bangun dari tidur dia mestilah
dimandikan kemudiannya dibiarkan bermain untuk seketika kemudiannya diberikan
sedikit makanan, kemudiannya bermain kemudiannya mandi dan selepas daripada itu
diberikan makanan. Imam al-Ghazali berpendapat kanak-kanak perlu dibenarkan
bermain selepas belajar untuk menghilangkan penat. Mencegah mereka dari bermain
dan memaksa mereka belajar sepanjang ahri akan mematikan hati dan menganggu
kecerdasan. Sebaik sahaja boleh bercakap dan memahami arahan anak-anak
perlu diajar adab dan akhlaq seperti adab makan dan minum.
Ibu bapa perlu bersikap
tegas dalam mengawal fizikal anak-anak segala tindakan mereka yang boleh
merosakkan tubuh badan dan kesihatan perlulah dilarang. Di sini kita dapat
melihat sebahagian ibu bapa yang tidak bertegas dan membiarkan anak-anak mereka
melakukan kegiatan-kegiatan yang memudaratkan bukan sahaja dari segi kesihatan
bahkan juga merugikan wang. Perbuatan-perbuatan seperti merokok dan
pergaulan bebas akan mengundang berbagai masalah kesihatan dan sosial. Di
sini saya suka mencadangkan agar pihak berwajib bersikap lebih tegas dalam
mewujudkan zon bebas merokok dan menjadikan masyarakat Malaysia zero
smoking. Program-program hiburan perlu dikemaskinikan supaya
elemen-elemen yang baik dipaparkan dan elemen-elemen negatif yang menggalakkan
anak-anak kepada pergaulan bebas mestilah dimonitor dengan serius.
Pendidikan
Minda dan Aqal
Di dalam menangani
cabaran mendidik anak-anak sebagai future generation tidak
dapat dinafikan ilmu memainkan peranan yang besar dalam mewarnai corak
kehidupan anak-anak. Yang dimaksudkan dengan pendidikan minda atau aqal
di sini ialah membina fikiran anak-anak supaya mereka mengenal ilmu-ilmu
bermanfaat, budaya ilmu, pola-pola pemikiran dan tamdaun sehingga berkembang fikiran
dan berilmu. Ia juga bermaksud pengetahuan dan juga skil yang bukan
sahaja perlu ada pada anak-anak sebagai satu tuntutan tetapi ibu bapa juga
perlu mempunyai ilmu-ilmu asas dan skil dalam membantu dan merangsangkan proses
pembelajaran dan pendidikan anak-anak. Antara kerosakan akhlak anak-anak
adalah berpunca daripada kecuaian memberi pendidikan.[10] Anak-anak
perlu dibekalkan dengan dua cabang ilmu: ilmu agama dan ilmu duniawi.
Ilmu agama sebagai tuntutan seorang Muslim dan ilmu duniawi sebagai memenuhi
tuntutan kehidupan. Apabila proses pembelajaran dan pendidikan terbantut
atau tidak lengkap ianya akan mempengaruhi sikap anak-anak. Sesuatu yang
tidak dapat dinafikan ialah sebahagian dari remaja yang bermasalah adalah dari
kalangan mereka yang terpinggir dari arus pembangunan dan perkembangan ilmu.
Pengajian mereka tersekat setakat sekolah menengah dan masa remaja mereka
terdedah kepada gejala-gejala tidak sihat.
Ada tiga perkara pokok
yang mesti ditekankan dalam pendidikan akal anak-anak iaitu tanggungjawab
memberikan ilmu, pembinaan pemikiran Islam dan kesihatan mental.
Dalam proses pendidikan
ini ibu bapa pelu mengambil kira ilmu yang dianggap fardu ain dan fardu kifayah
dan mengamalkan pendekatan awlawiyyat priority keutamaan iaitu
ilmu apa yang perlu diajar dahulu dan bersesuaian dengan peringkat umur
anak-anak. Di sini konsep tadarruj atau gradualberansur-ansur
perlu dipraktiskan kerana kanak-kanak tidak mampu menerima semuanya pada satu
waktu. Mewujudkan perpustakaan kecil di dalam rumah adalah salah satu
kaedah yang boleh merangsangkan minat untuk membaca.
Penekanan yang serius
tentang kepentingan ilmu inilah yang telah mengangkat martabat umat Islam satu
ketika dahulu sehingga diiktiraf oleh bukan Islam. Seorang orientalis
Belanda ada menyatakan : “Tidak dapat dijumpai di Andalus seorang yang buta
huruf sedangkan di Eropah ramai yang tidak tahu membaca dan menulis kecuali
golongan elit sahaja.” H.R.Gibb menyatakan “melalui kajian yang
mendalam (oleh Muslim) metod penyelidikan meresap masuk ke Eropah pada zaman
pertengahan”.
Ibu bapa perlu membuat
pemerhatian adakah anak-anak mereka menguasai ilmu-ilmu fardu `ayn dan fardu
kifayah dan cuba menimbulkan kesedaran anak-anak tentang pertaliannya dengan
agama. Adakah kita boleh berbangga apabila anak-anak kita mampu
menceritakan tentang tamadun Barat tetapi tidak berupaya menerangkan tentang
tamadun Islam.
Ibu bapa perlu mengambil
perhatian berat kepada persekolahan anak-anak mereka bermula dari peringkat pra
sekolah, sekolah rendah dan menengah. Kemudahan sekolah, kurikulum dan ko
kurikulum mestilah dipantau supaya pembinaan peribadi anak-anak dan
perkembangan ilmu selaras dengan kehendak ibu bapa dan seperti yang dituntut
dalam Islam.
Pendidikan
Sosial
Menyedari kanak-kanak
pada peringkat umur awal memiliki daya keinginan untuk membuat keputusan dan
pilihan sendiri ibubapa semestinya sudah bersedia menanam di dalam diri
anak-anak mereka nilai-nilai sosial. Nilai-nilai sosial tersebut seperti
kasih sayang, berlaku adil dan lemah lembut. Nabi pernah berkata kepada
Aishah bermaksud: Wahai Aishah! Sesungguhnya Allah itu bersifat lemah lembut
dan sukakan lemah lembut (Riwayat Muslim).
Tidak dapat dinafikan
kekuatan sesuatu masyarakat terletak kepada kekuatan individunya.
Anka-anak-anak perlu ditanam dan dilatih bersifat dengan sifat-sifat
bermasyarakat yang berasaskan kepada pertama asas personaliti yang baik
seperti taqwa, persaudaraan, kasih sayang, berkorban, pemaaf, berani bercakap
benar, kedua menjaga hak orang lain seperti hak ibu bapa, saudara, guru,
kawan-kawan dan orang yang lebih dewasa, ketiga komitmen kepada akhlak
bermasyarakat seperti adab makan dan minum, memberi salam, meminta izin,
menghadiri majlis, berbual, bergurau, mengucap tahniah, menziarahi orang sakit,
mengucap tahniah dan mendoakan orang yang bersin dan keempat bersikap mengambil
berat iaitu bersifat kritikal terhadap isu-isu sosial seumpamanya seperti sifat
menghormati pendapat majoriti dan menyuruh dengan kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Pendidikan
psikologi dan emosi
Yang dimaksudkan dengan
pendidikan psikologi ialah mendidik anak-anak sebaik mereka mampu berfikir dan
memahami sifat berani, keyakinan dan ketenangan diri. Aspek ini merupakan
aspek yang penting yang kadang kala dipandang remeh oleh ibubapa.
Perasaan gembira, suka, marah, bermusuh dan takut adalah sebahagian dari
keadaan yang menguji emosi anak-anak. Matlamat penekanan aspek psikologi
ini ialah membentuk peribadi anak-anak dan menanamkan keyakinan diri sehingga
mereka mampu berdikari. Ibu bapa perlu membiasakan anak-anak dengan sifat-sifat
terpuji dan memastikan mereka terpisah dari sifat-sifat buruk yang boleh
mempengaruhi psikologi.
Dua faktor yang
mempengaruhi emosi kanak-kanak; pertama tindak balasnya terhadap saudara-sauadaranya
yang lebih tua dan kedua sikap ibubapa yang tidak dapat difahami oleh anak-anak
seperti sifat ayahnya yang berubah dari penyayang kepada seorang yang bengis.
Terdapat lima perkara ibu bapa perlu awasi dan hindarkan dari anak-anak. Malu,
takut, rendah diri, dengki dan marah.
Perasaan malu dapat
dikesan pada peringkat awal usia anak-anak. Mereka malu untuk bertemu dengan
orang yang mereka tidak biasa berjumpa dan kadang-kadang sikap malu ini
diwarisi dari ibu bapa mereka. Sikap menyendiri dan tidak suka bercampur
dengan masyarakat yang ditunjukkan oleh ibu bapa akan mendorong anak-anak untuk
menunjukkan sikap yang sama. Kanak-kanak perlu dibiasakan memasyarakatkan diri,
bergaul dengan orang lain tetapi dalam keterbasan yang tidak menafikan dari
diri mereka sifat-sifat mulia. Kebiasaan orang-orang Melayu dalam
menghormati orang-orang tua melarang anak-anak mereka dari duduk bersama.
Sikap seperti ini mungkin baik tapi dari segi yang lain akan menyebabkan
anak-anak besrikap terlampau malu dan segan sehinggakan apabila mereka dewasa
kelak tidak ada keyakinan diri dan tidak mampu berhadapan dan berkomunikasi
dengan penuh konfiden.
Perasaan rendah diri
merupakan satu bentuk emosi disebabkan oleh ketidaksempurnaan fizikal badan,
bentuk pendidikan dan suasana ekonomi. Terdapat beberapa faktor yang
mempengaruhi perasaan rendah diri iaitu hina diri, membezakan antara anak-anak,
kecacatan, keyatiman dan kemiskinan. Ada ibu bapa yang sering menggunakan
perkataan yang tidak baik bagi menggambarkan kesalahan kecil anak-anak di
hadapan saudara-saudaranya seperti budak jahat, penipu, pemalas dan pencuri
atau memarahi anak-anak di hadapan rakan-rakan mereka. Sikap ibu bapa yang
terburu-buru dan mudah hilang sabar akan membuatkan anak-anak memberontak, irihati,
tidak hormat orang tua dan dendam. Bagaimana mungkin kita mengharapkan mereka
mempunyai sikap yang baik seperti taat, kasih sayang dan menghormati orang tua
jika kita telah membibitkan dalam jiwa mereka perasaan-perasaan negatif
tersebut. Sepatutnya ibu bapa menggunakan berbagai pendekatan bijaksana
bersesuaian dengan kesalahan dan peringkat umur anak-anak. Di sinilah
pentingnya kebijaksanaan ibu bapa iaitu meletakkan sesuatu bersesuaian dengan
tempatnya. Anas bin Malik berkhidmat kepada Nabi selama sepuluh tahun
sejak berusia 10 tahun. Tidak pernah Nabi memarahi dan
mengherdiknya. Kadang-kadang Nabi memanggilnya dengan namanya, ketika
yang lain dengan panggilan yang lembut Unais dan saat yang lain dipanggil wahai
anakku. Pernah satu ketika Anas diminta pergi ke kedai di dalam
perjalanannya dia berhenti untuk berjumpa dengan rakan sebayanya. Tiba-tiba dia
merasakan seseorang memegang bahunya lantas dia berpaling dan mendapati orang
tersebut ialah Nabi. Dia menyangka Nabi akan memarahinya tetapi apa yang
dia dengar ialah “Wahai anakku adakah kamu dalam perjalanan untuk
menyelesaikan urusanmu”?
Perasaan takut dan marah
ialah dua unsur negatif yang biasa melanda kanak-kanak. Mengikut ahli
psikologi kebanyakan perasaan takut merupakan satu benda yang dihasilkan oleh
diri manusia sendiri. Takut terbahagi kepada tiga; takut secara
semulajadi, resah dan fobia. Sikap ibubapa yang tidak bijaksana dalam berurusan
dengan anak-anak atau keruntuhan rumahtangga boleh menjadi penyebab kepada
perasaan takut yang akhirnya berkemungkinan akan mengganggu emosi
kanak-kanak. Antara nasihat Nabi ialah “Permudahkan jangan menyusahkan,
tenangkan dan jangan kecoh”. Terlalu memanja anak-anak juga merupakan
antara faktor yang boleh menyebabkan anak-anak hilang keyakinan diri dan berasa
malu.
Metod
pendidikan Islam
Ada beberapa metod yang
dicadangkan oleh pakar-pakar pendidikan Islam. Antaranya ibadah, menyuruh
dengan kebaikan dan mencegah kemungkaran, hikmah, bercerita, perdebatan,
membuat perbandingan, targhib dan tarhib, menanam adat-adat yang baik dan
menggunakan peristiwa-peristiwa yang berlaku dan hukuman.
Ibadat
Ibadat merupakan metod
pendidikan yang sempurna merangkumi semua aspek jasmani dan rohani
individu dan masyarakat kerana pembentukan insan dan pembinaan peribadinya amat
berhajat kepada amalan-amalan dan tingkah laku yang baik. Ibadat-ibadat
seperti solat, zakat, puasa dan haji menanam sifat-sifat mulia yang perlu ada
pada individu dan masyarakat.
Contoh
Tauladan
Manusia dan anak—anak
khususnya perlu diikat dengan contoh tauladan yang baik supaya mereka boleh
melihat sample dan menjadikannya sebagai ikutan. Terdapat anak-anak yang
menjadikan artis-artis dan ahli-ahli sukan sebagai idola dan pujaan mereka
sedangkan mereka ini kosong nilai-nilai akhlaknya. Ibu bapa perlu
memperkenalkan kepada anak-anak bahawa Rasul, para sahabatnya dan orang-orang
alim dan bijaksana sahaja yang sepatutnya dijadikan contoh tauladan kerana
akhlak mereka yang tinggi.
Amr
bi ma`ruf dan nahi munkar
Mengajak manusia kepada
kebaikan dan menegah dari keburukan satu metod yang baik dan berkesan kerana ia
membangkitkan dalam diri anak-anak perasaan mengambil berat terhadap anggota
masyarakat dan juga menyedarkan diri yang lalai akan kesalahan dan kekurangan
diri.
Pendidikan
dengan hikmah dan kebijaksanaan
Kanak-kanak jika
bersesuaian cara nasihatnya akan menerima dan mengikut perkara yang
dinasihatkan khususnya jika nasihat tersebut datang dari orang yang
dikasihinya. Hikmah bermaksud meletakkan sesuatu kena dengan
tempatnya. Menggunakan perkataan yang lemah lembut pada tempatnya
menghukum anak-anak bersesuaian dengan keadaan dan kesalahannya adalah hikmah.
Pengajaran dengan
nasihat dan bimbingan dengan penuh hikmah dan kasih sayang seperti mana pesanan
Luqman kepada anak-anaknya. Pesanan memperlihatkan kepada anak-anak
betapa besarnya harapan ibu bapa kepada anak-anak mereka.
Menyertakan senda gurau
di dalam pengajaran untuk menggerakkan otak, menghilangkan jemu serta
menimbulkan keinginan untuk bermesra-mesraan. Seorang lelaki telah datang
kepada Rasulullah memintanya seekor unta sedekah supaya dia menggunakannya
untuk mengangkat barang-barang rumahtangganya. Maka berkata Rasulullah
Aku akan memberimu anak unta untuk mengangkat barang itu. Lelaki itu
berkata Wahai Rasulullah! Apa yang dapat aku buat dengan anak unta itu?
Jawa Rasullullah Bukankah unta itu melahirkan anak unta?
Bercerita
Mengajar anak-anak
dengan membawa cerita-cerita akan meninggalkan kesan di dalam jiwa dan tersemat
di dalam akal. Kaedah-kaedah ini digunakan oleh Qur’an dan hadith
antaranya ayat 176 surah al-A`raf “Dan ceritakanlah cerita-cerita itu
kepada mereka moga-moga mereka memahami”. Surah Yusuf umpamanya berkaitan
kisah adik-adik beradik yang penuh dengan dengki dan diatasi dengan kasih
sayang dan ikhlas kepada Allah.
Mendidik
dengan pendekatan berdialog
Cara menyampaikan cerita
mestilah ada kepelbagaian seperti bercerita secara dialog, cerita secara
mengemukakan soalan. Satu ketika Nabi bertanya kepada para
sahabatnya: Tahukah kamu siapa dia seorang Muslim itu? Jawab
Sahabat : Allah dan RasulNya saja yang lebih mengetahui. Sabda Nabi: Seorang
Muslim itu ialah siapa yang terselamat kaum Muslimin yang lain dari lidahnya
dan tangannya.
Targhib
dan tarhib
Targhib ialah membuatkan
seseorang suka kepada sesuatu dan tarhib membuat seseorang membenci atau lari
dari sesuatu. Targhib seperti menceritakan kepada anak-anak balasan dan hasil
yang baik jika mereka berakhlak mulia dan tarhib menceritakan kepada anak-anak
keburukan yang bakal berlaku jika mereka tersilap jalan. Ibu bapa boleh
menggunakan gambar-gambar bagi menggambarkan apa yang mereka ceritakan kepada
anak-anak.
Menanam
dalam jiwa anak-anak adat-adat dan perbuatan yang baik
Anak-anak dari semenjak
kecil perlu ditunjukkan adat dan perbuatan yang baik dan dijauhkan dari mereka
adat dan perbuatan yang keji. Anak-anak perlu dibiasakan dengan
menghormati orang tua, bersopan santun, tidak pemarah dan dengki.
Menggunakan
peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekeliling
Ibu bapa perlu
mengaitkan peristiwa-peristiwa yang berlaku dengan akhlak anak-anak.
Tunjukkan kepada mereka dan berikan mereka kefahaman
Hukuman
Mendidik anak-anak
dengan menghukum merupakan satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan
apabila didapati mereka tidak mengikuti arahan. Hukuman yang diambil oleh ibu
bapa terhadap anak-anak mereka adalah berbeza dan tidak sama dengan
undang-undang dikenakan ke atas masyarakat. Ibu bapa perlu mengambil
pendekatan-pendekatan berhikmah dalam menghukum anak-anak antaranya dengan
memberikan nasihat dengan lemah lembut dan kasihan belas. Dalam sebuah
hadis “Hendaklah anda bersifat lemah lembut dan jangan sekali-kali bersikap
keras. Ibn Khaldun dalam bukunya al-Muqaddimah menyatakan
bahawa kekerasan yang berterusan dengan anak-anak akan menjadikannya lemah
semangat, jiwanya memberontak, kecergasannya akan hilang, menjadi malas dan
suka berdusta. Ibu bapa juga boleh menghukum anak-anak dengan menunjukkan raut
wajah yang tidak senang seperti memalingkan muka dari mereka, menunjukkan
perasaan marah. “Wahai Abu Dharr! Tidak patut engkau mengatanya dengan
menyebut ibunya. Sesungguhnya engkau masih terpengaruh dengan cara-cara
jahiliyyah” (al-Bukhari). Ibu bapa juga boleh memulaukan anak-anak dengan
cara tidak bercakap dengan mereka untuk sesuatu tempoh. Memukul anak-anak
mungkin merupakan cara terakhir seperti dalam hadis “Suruh anak-anak kamu
mengerjakan sembahyang seusia tujuh tahun dan pukullah mereka apabila telah
mencapai umur sepuluh dan pisahkanlah antara mereka di tempat tidur.”
Kesimpulan
dan Cadangan
Pendidikan anak-anak
merupakan satu jihad dan memerlukan pengorbanan dari ibu bapa. Ibu bapa
terlebih dahulu perlu mencerminkan budaya sihat dan tauladan yang baik supaya
menjadi ikutan anak-anak. Anak-anak adalah cermin kepada ibu bapa.
Kita tidak mahu ibu bapa yang ibarat ketam mengajar anaknya berjalan betul.
Surah ayat 3-4 bermaksud : “Wahai orang-orang beriman kenapa kamu kata apa yang
kamu tidak lakukan ? amatlah besar dosanya di sisi Allah sekiranya kamu
mengatakan apa yang kamu tidak buat” Syair Arab ada menyebut la
tanha `an khuluqin wa ta’tiya mithalhu `aar `alaika idha fa`alta `azim.
Kerajaan dan pihak yang
berwajib perlu memperbanyakkan dan mempertingkatkan kualiti SA (Sekolah Agama)
atau diubahsuai dan mengukuhkan kurikulum pelajaran supaya menjadi seimbang
dengan mengambil kira potensi pelajar dan tuntutan arus perdana dan kewajipan
agama.
[2] Tanah
mengikut Malik Bennabi ialah dari segi nilainya pada masyarakat. Nilai
tanah sesuatu tanah bergantung kepada nilai sesuatu masyarakat tersebut.
[3] Beliau
melihat masa sebagai sebatang sungai bisu yang melalui setiap masyarakat
manusia yang kadangkala tidak disedari manusia. Hanya sebahagian sahaja
yang mengambil manfaat darinya. Beliau mempersoalkan sikap masyarakat
Islam Arab yang malas bekerja dan tidak menggunakan waktu sebaiknya sedangkan
masa merupakan suatu yang tidak dapat dipisahkan dari tamadun.
[4] Malik
Bennabi membincangkan harta sebagai satu modal sebagai satu respon kepada teori
kapitalis.
[5] Secara
amnya istilah kebudayaan merujuk kepada segala hasil ciptaan insan dalam usaha
menyesuaikan dirinya bagi menghadapi keadaan alam sekililingnya. Ianya juga
sebagai pola-pola kehidupan.- zakaria setapa.
[6] Juzuk
pertama.
[7] Dr
Khalid Muhammad Muharram, Bina’ al-Shakhsiyyah min Khilal al-Tarbiyyah
al-Islamiyyah.
[8] http://www.mindamadani.my/content/view/186/2/
[9] Kosmo,
10hb Jun 2009
[10] Keluarga
Islam: Kemahiran Keibubapaan dan Cabran Semasa, Suntingan Azrina Sobian,
IKIM, hlmn. 53.
0 comments:
Post a Comment